Monday 2 September 2013

Lumba Kerbau

Bila aku nampak gambar ini, aku terfikir akan potensi pelancongan pada makhluk ini yang banyak terdapat di Pantai Barat, terutamanya di Kota Belud iaitu Jelapang Padi negeri Sabah. Kini peranan haiwan lasak ini untuk membajak sawah sudah diambil alih traktor pembajak. Maka jadilah ia makhluk yang jobless yang kerjanya bersiar-siar mencari rumput dan kemudan melepak ramai-ramai di lumpur dan bergosip dalam bahasanya, sementara menunggu giliran untuk dijual sebagai haiwan korban, itupun kalau sudah memenuhi syaratnya.


Prospek industri pelancongan yang aku terfikir dari haiwan ini ialah menjadikannya sebagai kerbau lumba. Aku tertarik dengan konsep lumba sapi (lembu) di Padang, Sumatera. Di sana acara tersebut dikenali sebagai Pacu Jawi.


Acara Pacu Jawi menarik pelancong, terutama jurufoto dari serata dunia. Sewaktu aku ke sana, tidak kurang dari 100 jurufoto amatur dan profesional berada di lokasi lumba untuk merakamkan aksi-aksi menarik perlumbaan. Malah, foto-foto lumba sapi dari acara tersebut banyak menang pelbagai pertandingan foto ternama.
Konsepnya mudah. Seorang joki memacu dua ekor lembu serentak di petak sawah yang basah pada jarak kira-kira 50 meter. Ada lebih sedozen joki mengambil bahagian. Pasangan sapi yang sampai ke garis penamat dinobatkan sebagai pemenang. Malah, seekor sapi diberi nama Rajawali adalah pemecut yang belum dikalahkan rekod pecutnya oleh sapi-sapi yang lain.
Teknik untuk mempercepatkan larian lembu ialah dengan menggigit ekornya. Ia dibolehkan. Oleh kerana ia diadakan di petak sawah yang basah, maka percikan lumpur dan selut menambah nilai fotogenik pada foto yang dirakam oleh jurufoto.
Apa prospek ekonominya? Bayangkanlah ketika aku ke sana, tidak kurang 100 jurufoto luar datang ke Padang. Belum lagi pelancong biasa. Mereka tentunya memerlukan penginapan, pengangkutan, tempat makan dan bahan-bahan cenderamata tempatan untuk dibawa pulang. Lagi pula, acara Pacu Jawi yang asalnya cuma pesta rakyat sebelum bermulanya musim membajak, juga diadakan sempena anak-anak Minang yang merantau mudik (balik kampung) untuk berhari raya. Tapi kini ia boleh diadakan lebih kerap jika ada permintaan, terutamanya dari kalangan jurufoto dari merata tempat yang hendak merakamkan acara tersebut.
Berbalik kepada potensi kerbau tempatan kita di Sabah. Aku pernah saksikan acara lumba kerbau membawa 'guni padi' di padang sempena pesta Tamu Besar Kota Belud. Bagi aku, konsepnya boleh ditingkatkan untuk menjadikannya lebih fotogenik pada pandangan jurufoto.
Aku juga percaya, kalau konsepnya diperbaiki untuk menarik citarasa jurufoto dan pelancong, Kota Belud atau mana-mana daerah yang banyak kerbau, akan lebih meriah di segi pelancongan, bukan sahaja sempena acara tamu tertentu tetapi juga setiap kali acara lumba kerbau diadakan secara on demand dari jurufoto seantero dunia.
Mahukan konsep ideanya? Bah, mari kita ngopi dan perkemaskan idea tersebut.
(kredit foto kerbau bawa 'guni beras' kepada Utti.)





2 comments: